:: Allahumma solli a'ala Saidina Muhammad

Bercinta hingga ke syurga.. Ameen

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, March 25, 2010

TAHMID..


Keheningan pagi menggamit ketenangan jauh disudut hati Hanan. Alhamdulillah. Tenang, amat tenang. Subahanallah. Tidak pernah terasa setenang ini. Hanan kembali sujud, tanda syukur atas nikmat ketenangan ini. Betapa terasa besarnya nikmat ketenangan jiwa. Walau diri dilanda sebesar mana mehnah tribulasi, Allah telah mengurniakan kekuatan dengan dicampakkan ketenangan dilubuk hati ini, mengatasi segala perasaan lain. Terus menerus dengan ucapan tahmid yang tidak putus-putus keluar di bibir Hanan..

Seusai tahajud, Hanan melipat sejadah dan menanggalkan kain telekung. Hanan mencapai jam tangannya di atas meja belajar. 5.30pagi. Masih awal. “ambil sunnah” Getus hati Hanan. Menjadi amalan Hanan, dia akan tidur sebentar sebelum masuk waktu subuh sebagaimana sunnah nabi.

Hanan membelek-belek helaian kitab risalah Qusyairiyah. Kitab yang menjadi ‘sahabat’ karib Hanan sejak kebelakangan ini. Cukup memberi didikan dan pengajaran kepada Hanan setiap daripada bait-bait kata yang terdapat di dalam kitab tersebut.

Terasa semakin hampir dengan pencarian ‘teman’ hidup yang selama ini Hanan tercari-cari. ‘Teman’ yang memberi kesenangan pada jiwa walau kesusahan dilalui jasad, ‘teman’ yang memberi kedamaian jiwa walaupun disaat suasana ribut melanda, ketenangan pada jiwa disaat keadaan tidak menentu ‘cuacanya’, memberikan kecukupan pada jiwa walaupun kehendak nafsu tidak pernah berkesudahan. Walaupun beribu kali Hanan mengucapkan tahmin kepada Allah, dia tahu bahawa tidak akan menyamai kurniaanNya, nikmat ketenangan yang dirasainya ini.

Diberi kesempatan hidup digedung ilmu mendekatkan lagi jalinan hubungan dengan ‘teman’ yang dicarinya selama ini. Dulunya menjadi kesukaran bagi diri Hanan untuk memahami ‘teman’. Kini, Allah telah menyingkap sedikit-demi sedikit kemudahan dan keringanan untuk terus akrab bersahabat baik dengan ‘teman’. Semakin didekati, semakin menghidupkan jiwa hamba, menyedarkan diri untuk terus-menerus hidup dalam suasana hidup berTuhan.

“Ya Allah.. kekalkan ‘teman’ ini sehingga ke akhirnya.. hingga ke syurga.. menjadi saksi bagi diriku.. yang sentiasa mengharapkan keampunanMu dan sentiasa rindu untuk terus hidup dalam nikmat bersyariat, di kekalkan hidup dan mati dalam Iman dan Islam”. Doa yang tidak pernah lekang dari bibir Hanan setiap kali tahajjud.

Menjadi kebiasaan Hanan untuk mencatat di diari kesayangnya mengenai ‘teman-temannya’ yang semakin hari semakin bertambah. “Mudah-mudahan aku ikhlas menjadikan semua teman-temanku ini sebagai sahabatku”. Hanan tersenyum sendirian. Dia kembali menutup diari dan meletakkan kembali diarinya di barisan buku-buku pelajarannnya. Alhamdulillah..

“Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah pahala segala amalannya melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh kepada ibu bapanya.” (Riwayat Muslim)

::Islah diri::

Sunday, March 21, 2010

Bingit...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…

Kelas tutorial tasawuf perbandingan hari ini sedikit bingit.. Saya dan sahabat-sahabat lain juga merasakan ada perbezaan suasananya dengan hari-hari lain. Tambahan tajuk perbentangan agak sedikit kontroversi “Konsep hub al-Ilahi dalam tasawuf dan konsep Love dalam kerohanian kristian”. Saya dan sahabat-sahabat pembentang juga sudah menduga, tentu sahaja kami akan ditanya mengenai tajuk perbentangan kami ini dengan pelbagai persoalan.

Cuma saya sedikit terkilan dengan diri saya sendiri, mungkin disebabkan kelemahan dalam penyampaian saya tadi ada segelintir dikalangan sahabat di dalam kelas tutorial tidak memahami maksud sebenar apa yang ingin disampaikan.

Lontaran saya mengenai adab yang saya kongsikan kepada sahabat-sahabat di dalam kelas tadi adalah untuk renungan bersama dan muhasabah diri saya dan sahabat-sahabat bukan tujukan untuk menuding jari kepada mana-mana individu di dalam kelas.

Penyataan saya bahawa “saya hanya menyampaikan apa yang telah disampaikan kepada saya untuk dikongsikan bersama… bukan daripada kata-kata saya …” bukan bermaksud saya tidak bertanggungjawab dengan apa yang telah saya perkatakan. Ya, saya mendengar tadi, ada yang beranggapan sedemikian. Mengatakan saya tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang telah saya perkatakan. Saya beristighfar di dalam hati.. Mohon maaf andai itu adalah keterlanjuran saya dalam berbicara.

Cuma saya ingin mengaplikasikan konsep ilmu, “sedikit” ilmu yang saya dapat di dalam usrah tempoh hari menyedarkan saya untuk amanah dalam menyampaikan ilmu, supaya saya tidak “mencuri” kata-kata orang lain. Saya katakan “bahawa ini adalah daripada kata-kata ulama…….. bukan dari kata-kata saya” adalah untuk menjaga kesucian ilmu, bukan sebab saya tidak mahu bertanggungjawab dengan kata-kata saya.

Siapalah saya untuk mengatakan sesuatu yang mengandungi begitu banyak hikmah dan pelajaran yang dapat di ambil. Saya bukan insan yang hebat, sekadar berusaha menyampaikan ilmu yang telah disampaikan kepada saya.

Tapi masih ada rasa syukur di dalam hati ini, saya suka dengan suasana tadi, sedikit hidup dan menyedarkan diri saya bahawa banyak lagi kelompangan pada diri yang perlu diperbaiki. Alhamdulillah..

Mungkin, tadi kesuntukan masa untuk sahabat-sahabat mengajukan persoalan yang berlegar difikiran. Semua sudah bersetuju untuk kita melanjutkan persoalan dan perbentangan kami ini pada minggu akan datang. Semoga ia akan menjadi medan untuk kita bertawajjuh dengan ilmu, iaitu bertawajjuh dari hati (jiwa) dan mendalami ilmu untuk mempertingkatkan adab (mempertingkatkan adab dengan Allah, Rasul dan adab sesama kita). Wallahu a’lam.. Islah diri...

::Jadikanlah apa yang kami lakukan ini adalah termasuk di dalam amal soleh..ameen::

Tuesday, March 16, 2010

ADAB

Alhamdulillah.. sangat bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah.. Masih ada “segunung” kasih sayangNya, memberi kesempatan untuk saya merasai nikmat-nikmat kurniaanNya walaupun kadang-kadang lalai dan tersasar, namun rahmat dan kasih sayangNya sering menyedarkan kembali jiwa ini..

Antara nikmat kurniaan Allah..

Usrah semalam menyedarkan saya mengenai konsep ilmu. Mungkin sebelum ini saya menyatakan perlunya penguasaan ilmu. Tetapi alangkah ruginya diri saya sekiranya ilmu banyak dikuasai tapi tidak mampu untuk mempertingkatkan adab.

Usrah semalam berkisar tentang hadis yang pertama dari hadis dua puluh. Huraian mengenai hadis tersebut, iaitu hadis niat. Disamping itu disentuh mengenai konsep belajar adalah untuk mendapatkan adab. Semakin tinggi ilmu seharusnya semakin tinggi pula adab kita.

Saya ingin mengulangi apa yang telah disampai kepada saya, kepada sesiapa sahaja yang sudi untuk membaca entri kali ini. Segala yang saya catatkan ini bukan datang dari “kalam” dari saya sendiri tapi bertujuan untuk menyampaikan apa yang telah disampaikan kepada saya supaya ada manfaatnya antara kita.

Ada kata-kata dari seorang ulama yang mengibaratkan ilmu dan adab ibarat adunan roti iaitu tepung dan garam. Ilmu umpama garam dan adab adalah tepungnya. Manakala yang menguli tepung dan garam tersebut adalah kita.

Sekiranya ilmu lebih tapi adab tidak ada atau kurang maka akan masin lah roti dan memberi kesan kepada pemakannya mungkin juga boleh menyebabkan darah tinggi atau penyakit-penyakit lain. Tidak boleh juga adab tanpa ilmu. Kedua-dua bersifat saling memerlukan.

Adab adalah pancaran daripada kejernihan hati dalam pengaplikasian ilmu dalam kehidupan. Walaupun ilmu yang didapati sedikit tapi adab daripada ilmu yang diaplikasi lebih berganda-ganda untuk menunjukkan benar-brnar kita menghayati sesuatu ilmu yang didapati.

Naqib menyedarkan saya, apabila dia menanyakan. “Adakah antum semua sudah mengamalkan syahadah yang telah dijelaskan tentang konsepnya pada usrah yang lepas?”. Tiada jawapan hanya senyap, termasuk saya. Tiada pengaplikasian maka sia-sialah ilmu.

InsyaAllah, saya menyeru diri saya dan anda yang membaca entri kali ini untuk mengaplikasiakn sedikit ilmu yang saya dapat ini untuk menjadi amalan dan sama-sama kita hayati untuk kita lebih mengenal Allah.

Saya mengulangi kata-kata yang sampai ke telinga saya, dan Alhamdulillah masih terpahat diakal dan terkesan dihati untuk saya dan anda sama-sama untuk menghayati ilmu untuk mendapatkan adab dan seterusnya dapat mengenali Allah dengan sebenar-benar “pengenalan”.

Sekadar menyampaikan dan sekadar perkongsian. Tangan ini yang akan dipersoalkan kelak di atas apa yang telah ditekan ke atas setiap huruf di “keyboard”. Wallahu a’lam.

::seinfiniti syukur::

Saturday, March 13, 2010

Solat Istisqa

Nik Aziz imamkan solat Istisqa

KOTA BHARU - Solat sunat Istisqa yang diadakan awal pagi semalam, memberi keinsafan kepada lebih 2,000 hadirin apabila hujan mula turun sebaik sahaja rakaat pertama solat dilakukan. Solat bermula jam 8.30 pagi itu diimamkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Padang Perdana, bersebelahan dengan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, dekat sini.

Hadir sama, seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Ketika Nik Aziz sedang membaca surah Al-Fatihah pada rakaat pertama, hujan lebat mula membasahi ribuan jemaah yang menunaikan solat tersebut.

Solat Istisqa adalah kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali dianjurkan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang. Sementara itu, Nik Aziz ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT. “Syukur, kita solat Istisqa hari ini (semalam) mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah solat turun hujan.

“Saya sendiri didedah oleh Allah SWT dengan air hujan yang pertama semasa solat hari ini (semalam). Sangat-sangat besarlah harapan dan mudah-mudahan Allah beri pada kita kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu, saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa,” katanya.

Sumber:http://www.sinarharian.com.my/com/ (13/03/2010)

Subahanallah.. Segala puji bagi Allah. Indahnya tawakkal dan penyerahan diri kepada Allah, mengharap dan memohon hajat hanya padaNya. Sama-sama koreksi diri..

Friday, March 12, 2010

Motivasi diri

Saya hanya mahu redha Allah. MengenaliNya, mencintaiNya, merinduiNya, takut hanya padaNya. Ia bukan suatu yang mudah.. Maharnya sangat tinggi dan perlukan tadhiyyah yang tinggi jua..


::Rindu kaabah, mudah-mudahan diberi kesempatan untuk berkunjung ke sana::


Masih teringat niat mula-mula semasa menjejak kaki ke Universiti. “Aku bertekad untuk belajar supaya aku lebih mengenal Pencipta. Patuh dan taat pada suruhan dan laranganNya”.



Saya amat teruja bila di dalam kuliah-kuliah subjek tasawuf. Subjek yang paling diminati. Waktu 1st Year ambil subjek akhlak dan tasawuf, 2nd Year belajar pula mengenai tarekat, kajian aqidah dan lain-lain, dan sekarang belajar mengenai tasawuf perbanding, kajian tasawuf sunni falsafi dan lain-lain. Memang seronok belajar subjek-subjek ni.



Patut la pelajar jabatan lain kata kalau belajar usuluddin ni akan rasa diawang-awangan. Hehe.. ada juga kebenarannya. Sebab semuanya berkaitan dengan hati. Mendidik hati, mengenali ulama’ tasawuf, sufi-sufi, membentuk akhlak diri. Berbincangg mengenai perkara yang non-meterial.



Aplikasi ilmu. Belajar memang mudah. Mana tak mudah, kita mendengar yang bercakap pensyarah. Pensyarah berdiri dihadapan, kita selesa bersandar di kerusi sambil mendengar. Kadang-kadang ada yang mengantuk tersengguk-sengguk menahan mata, mungkin tak faham menyebabkan boring atau tidur lewat. Namun, aplikasi ilmu perlu dititik beratkan supaya ilmu itu terpahat dalam ingatan bukan dikertas-kertas nota sahaja (nasihat pada diri). Saya tidak menuding pada sesiapa, hanya sekadar suka untuk menasihati diri sendiri.





Mengimbau memori lalu



Masih teringat kata-kata kakak saya ketika saya ditingkatan dua, tam (gelaran kakak saya), memang agak tegas. Pernah satu ketika, mintak keputusan periksa saya, “tengok.. tak adil pada ilmu”. Saya terkesima, “kenapa?”(persoalan dalam hati). “Ada A, B,C…bla, bla”. Panjang nasihatnya. Itu dulu, sekarang dah besar-besar, dah tak macam dulu. Dulu tam bujang, sekarang dah berkeluarga (cepat je masa berlalu). Leteran beralih pada anak-anak pula, supaya mereka menjadi insan yang berguna. =)



Kesibukan di“dunia kampus”, kadang-kadang menyebabkan kita tidak adil pada ilmu. Disebabkan kelemahan diri sendiri untuk mengurus diri dan masa. Bila tengok keputusan periksa bagi setiap sem, mesti teringat waktu zaman sekolah dulu, teringat pada pesanan dan nasihat tam. Setiap sem baru, saya akan memperbaharui azam dan tekad. Niat asal ketika mula-mula masuk universiti, masih menjadi tunjang di medan akademik ni. (saya memang sayang sangat pada mak, abah, abang-abang, dan kakak-kakak saya).





Terus, terus, terus kehadapan..

Alhamdulillah, masih ada rasa syukur untuk keptusan sem-sem lepas. Masih berbaki satu sem. Ya, kita perlu berusaha lebih untuk sem ini.



Kita perlu menguasai ilmu didewan-dewan kuliah disamping ilmu-ilmu lain dijadikan nilai tambah pada diri (ilmu yang kita perolehi secara tidak formal).



Saya tidak pernah merasai sekolah agama dulu, cukup manis bila seketika diberi kesempatan untuk belajar dibumi barakah, bumi waqafan, menjadi titik tolak untuk kehidupan selepas itu.



Subahanallah.. Alhamdulillah, mungkin ini hanya sedikit sahaja bila Allah campakkan rasa manisnya Iman dan indahnya hidup dalam Islam, kadang-kadang mampu untuk menjadikan kita sebak (terharu). Sungguh besar nikmat yang Allah berikan, walaupun kadang-kadang diri ini selalu lalai dan kadang-kadang mengulangi kesalahan yang berulang. Semua yang saya coretkan ini hanya sekadar motivasi diri, tidak ada kena mengena dengan sesiapa.. Sejak akhir-akhir ini selalu sahaja terasa sedikit (-_-) ….. Haha.. Nak bangunkan diri, sebelum terlena, takut terlena yang panjang.



“Ya Allah, aku takut menjadi lebih teruk dari sebelumnya.. bantulah diri ini untuk sentiasa berusaha mengislah diri ke arah yang lebih baik, menjadikanku lebih tunduk dan patuh padaMu. Kesudahan yang baik.. Amin..”

Monday, March 1, 2010

Renew Syahadah..

Alhamdulillah, terisi sedikit kelompangan hati, ubat bagi hati yang amat mudah terdedah dengan “virus” yang pelbagai yang boleh merosakkan sistem “antibody” kekuatan kerohanian diri. Perkongsian yang menarik untuk usrah kali ini. Naqib memberi penjelasan mengenai akidah ahli sunnah. Antara elemen perbincangan yang memberi kesan pada saya adalah berkaitan dengan renew syahadah.

Banyak dikalangan kita yang menggelar pejuang agama terlepas pandang mengenai perkara ini.

“Adakah syahadah terbahagi kepada dua pembahagian wajib dan sunat sebagaimana rukun-rukun Islam yang lain?” soal naqib.

“Ya” Ringkas jawapan dari semua.

Tajuk yang santai, tapi mempunyai “berat” timbangannya, menjadi titik tolak pada keislaman dan keimanan seseorang muslim. Target kita bukan sekadar muslim, ataupun menjadi soleh akan tetapi perlu berazam untuk menjadi muslih, yang dapat memperbaiki diri dan orang lain ke arah yang lebih baik, terutama dalam aspek mengenal Allah dengan lebih mendalam sehingga mampu memaparkan “hamba” yang sebenar-benarNya dalam konsep ta’abud kepadaNya.

RENEW SYAHADAH

Syahadah sebagai perkara pokok, menjadi tunjang. Syahadah umumnya mengetahui, adalah sebagai bukti keimanan hamba kepada Allah. Kadang-kadang kita tersasar di antara dua penyebab bagi sesuatu perkara. Penyebab kepada kegagalan, kemenangan, kecemerlangan, kedukaan dan segala macam lagi. Meletakkan penyebab kegemilangan kita kepada keupayaan diri sebagai penyebab utama.

Kadang-kadang kita megah dengan potensi diri, merasa diri hebat dan sebagainya. Ini adalah’ antara perkara yang memerlukan kepada renew syahadah supaya kita kembalikan kepada fitrah hidup bertuhan, segala-galanya yang kita hadapi dihari-hari ini adalah daripadaNya. DaripadaNya ia datang, dan kepadaNya jua ia dikembalikan. Sepatutnya ucapn ini bukan sahaja diucapkan apabila mndengar kematian, akan tetapi perlu diaplikasikan dalam kehidupan agar kita merasa “dekat” denganNya. Maka, segala gerak kerja Islam yang kita lakukan adalah dalam ruang lingkup untuk mengejar mardhatillah dan mencapai ma’rifatullah.

Mengamalkan syahadah, dengan penuh kefahaman dan kesedaran mampu mewujudkan jiwa “hamba”. Menyingkap ta’abud hamba kepada Maha agung, Maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Meruntuhkan jahiliyyah, meruntuhkan juga elemen “jahiliyyah” moden pada diri.

Terngiang-giang lagi ceramah dr Fadzilah kamsah mengenai pendekatan kita untuk meyakini akan qada’ qadar Allah. Apabila ditimpa musibah yang berbentuk kedukaan ,kehilangan dan sebagainya disarankan untuk melakukan tiga step berikut :

1) Mengucapkan kalimah “innalillahi wa inna ilaihirajiu’n”

2) Mengucapkan dengan penuh keyakinan dan sepenuh perasaan “ Ya Allah aku redha dengan ujian ini”

3) Mengucapkan juga “ Ya Allah, gantikan yang lebih baik bagiku agar aku dapat lebih mengenaliMu”

Setiap kita punya sejarah hidup, kita insan terpilih untuk diberi nikmat dan ujian pada sejarah hidup kita yang lalu. Pengislahan yang berterusan perlu dilakukan agar kita mampu menyingkap nilaian “hamba” yang sebenar di sisiNya. Mungkin dosa dan keterlanjuran dahulu adalah tarbiyah Allah sebagai mana untuk memahamkan kita antara dosa dan pahala, begitu juga sebagaimana kita tidak akan kenal Islam sebelum mengetahui apa itu jahiliyyah. Kita tidak akan kenal diri kita, sebelum kita mengenal musuh kita iaitu syaitan laknatullah.

Wallahu a’lam..

"Al-Muhasibi : Tiap-tiap sesuatu ada nilainya, nilai manusia ialah akal dan nilai akal ialah sabar."