Nik Aziz imamkan solat Istisqa
KOTA BHARU - Solat sunat Istisqa yang diadakan awal pagi semalam, memberi keinsafan kepada lebih 2,000 hadirin apabila hujan mula turun sebaik sahaja rakaat pertama solat dilakukan. Solat bermula jam 8.30 pagi itu diimamkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Padang Perdana, bersebelahan dengan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, dekat sini.
Hadir sama, seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.
Ketika Nik Aziz sedang membaca surah Al-Fatihah pada rakaat pertama, hujan lebat mula membasahi ribuan jemaah yang menunaikan solat tersebut.
Solat Istisqa adalah kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali dianjurkan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang. Sementara itu, Nik Aziz ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT. “Syukur, kita solat Istisqa hari ini (semalam) mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah solat turun hujan.
“Saya sendiri didedah oleh Allah SWT dengan air hujan yang pertama semasa solat hari ini (semalam). Sangat-sangat besarlah harapan dan mudah-mudahan Allah beri pada kita kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu, saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa,” katanya.
Sumber:http://www.sinarharian.com.my/com/ (13/03/2010)
Subahanallah.. Segala puji bagi Allah. Indahnya tawakkal dan penyerahan diri kepada Allah, mengharap dan memohon hajat hanya padaNya. Sama-sama koreksi diri..
No comments:
Post a Comment