:: Allahumma solli a'ala Saidina Muhammad

Bercinta hingga ke syurga.. Ameen

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, March 26, 2008

HAKIKAT SEBENAR...

PENAFSIRAN KITAB TAFSIR ZAMAN TERKEMUDIAN
(TAFSIR AL-AZHAR OLEH PROF. DR HAMKA)
Maksudnya: Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu agama bagimu (al-Maidah: 3).

Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu.
Ayat ini mengambarkan berkenaan dengan tuntutan aqidah, cara ibadah, menegakkan syariat, muamalat dan jinayat, semuanya telah cukup lengkap. Tidak akan ada lagi penambahan lagi. Nabi Muhammad adalah nabi yang terakhir, tidak akan ada nabi sesudahnya kerana agama Islam telah cukup sempurna buat seluruh manusia (Prof Dr Hamka, 1965).

Dan telah Aku lengkapkan buat kamu nikmat-Ku.
Nikmat telah di lengkapi dengan takluknya seluruh Tanah Arab kedalam kekuasaan Islam, kota Mekah telah bersih daripada berhala, dan setiap tahun umat Islam bebas untuk menjalani ibadah haji manakala Madiah menjadi kota suci yang kedua. Orang musyrik tidak akan lagi tawaf mengelilingi ka’bah dan nikmat pemeliharaan kota suci ini akan kekal dipelihara Allah selama-lamanya (Prof Dr Hamka, 1965).

Dan telah Aku redhai Islam itu agama bagimu.
Menurut riwayat, setelah mendengar ayat ini Saidina Umar menangis sedangkan umat Islam lain bergembira mendengar berita yang menunjukkan kesempurnaan dakwah Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dan kaum muslimin. Saidina Umar dapat merasakan akan tiba masanya Rasulullah s.a.w akan pergi menemui Allah kerana tugas dakwah Rasulullah s.a.w telah selesai (Prof Dr Hamka, 1965).

Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan telah sempurna agama Islam dari segala sudut dan tidak akan berubah syariat Islam hinggalah hari kiamat. Namun bagi perkara yang tidak berkaitan dengan ibadah dan syariat serta tidak ada hukum yang qatei’, kita diberi kelonggaran untuk berfikir atau berijtihad. Namun ijtihad tidak boleh dijadikan sumber yang utama menandingi al-Quran dan al-Hadis. Di dalam Surah Ali Imran ada menyatakan bahawa agama disisi Allah hanyalah Islam. Firman Allah:

Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam. tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, Karena kedengkian (yang ada) di antara mereka. barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah Maka Sesungguhnya Allah amat tepat hisab-Nya. (Ali Imran: 3)


(TAFSIR AL-QURANNUL MAJID OLEH TENGKU MUHAMMAD HASDI)

Maksudnya: Pada hari Ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu agama bagimu (al-Maidah: 3).

Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu.
Pada hari ini (masa ini) Allah sempurnakan untukmu agamamu. Allah telah halalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, sehingga segala hukum itu telah terang benderang tidak ada lagi sesuatu yang tersembunyi. Dan Allah telah patahkan segala tipu daya musuhmu dan Allah jadikan tanganmulah tangan yang tertinggi.

Dan telah Aku lengkapkan buat kamu nikmat-Ku.
Disamping itu Allah telah sempurnakan nikmatKu, maka segala orang musyrikin tidak lagi melakukan haji bersama kamu. Nikmat Allah ini memang telah disempurnakan, iaitu dengan menawan Mekah dan manusia beramai-ramai masuk ke dalam agama Allah, serta meninggalkan amalan-amalan jahiliyyah.

Dan telah Aku redhai Islam itu agama bagimu.
Allah telah memilih Islam dari berbagai-bagai agama lain (tidak diredhi) untuk menjadi agama yang diredhaiNya. Hanya Islam agama yang diredhai Allah.

HAKIKAT ISLAM

Syahadah memainkan peranan penting dalam menyatakan penyaksian dan pengakuan akan keyakinan dan keimanan terhadap Allah Tuhan sekalian alam. Bertunjangkan keyakinan kepada Allah, seseorang itu akan meyakini perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syurga, neraka dan lain-lain. Konsep syahadah ini meliputi penyerahan diri seorang muslim kepada Allah, tunduk dan patuh hanya kepada Allah serta mengakui kebesaranNya. Pengakuan yang timbul dari kesedaran diri bermula dilubuk hati akan melahirkan hakikat keimanan muslim yang sebenar (Prof Dr Hamka, 1976).

Berbalik kepada sejarah awal semenjak zaman nabi Adam hinggalah zaman nabi Muhammad, risalah yang dibawa adalah risalah Islamiyyah. Walaupun berbeza masa, keadaan dan berlainan syariat namun misi yang dibawa adalah sama iaitu Islam. Maksud agama itu sendiri terbahagi kepada dua iaitu, pertama: membersihkan jiwa dan aqal dari kepercayaan karut serta meyakini ada kuasa lain yang berkuasa namun pada hakikatnya tidak mempunyai apa-apa kekuatan (seperti patung, pokok dan lain-lain) kepada kepercayaan hanya kepada Allah, tunduk dan patuh hanya kepadaNya. Kedua: membersihkan hati dan sentiasa berniat ikhlas hanya untuk Allah dalam segala tujuan serta perbuatan. Hal inilah yang akan menjadi menifestasi kepada istilah Islam itu sendiri.
Didalam meguraikan perkara yang tersirat pada kalimah syahadah, kalimah syahadah ini mempunyai penafian dan penthabatan. Penafian ialah menafikan tuhan yang lain selain Allah tidak layak disembah. Penthabatan ataupun bermaksud penetapan didalam syahadah menunjukkan kepada penetapan bahawa hanya Allah tuhan sekalian alam yang wajib disembah (ٲشهد ألا إله إلا الله) (Porf.Dr.Syaikh Abdul Malik Bin Abdul Karim Amrullah,1976)


PENGAJARAN

i Islam adalah agama yang sempurna dan perlu dijadikan cara hidup.
ii Syahadah memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan dan kepatuhan kepada Allah. Jesteru, sebagai seorang muslim perlulah memelihara syahadah supaya tidak terbatal disebabkan oleh perkara-perkara syirik.
iii Asas Islam adalah keimanan kepada Allah, tunjang iman adalah syahadah. Seorang muslim perlu meletakkan Allah yang utama dalam segala hal dan keadaan serta megutamakan pandangan Allah dalam membuat sesuatu keputusan.
iv Hukum-hukum yang qatei’ perlu diterima tanpa ada penolakan, perbalahan dan pertikaian. Manakala dari sudut perkara furu’ yang dibahaskan perlulah dalam keadaan bersederhana dan tidak berdasarkan hawa nafsu serta perlulah saling berlapang dada dengan pendapat setiap pihak selagimana tidak melanggar syariat.
v Islam adalah agama yang syumul, agama yang diredhai Allah serta memberi kebahagiaan dunia dan akhirat bagi mereka yang memahaminya dan mengamalkan ajarannya.


KESIMPULAN

Berpandukan dalil al-Quran yang telah dihuraikan penafsirannya, dapatlah disimpulkan bahawa Islam adalah agama yang bersifat syumuliah. Selain itu, Islam juga mempunyai sifat rabbaniah, waqeiyah, thabat wal murunah, alamiyyah, dan inqilabiyah. Gabungan kesemua sifat-sifat Islam ini menggambarkan keindahan dan kemurniaan ajaran Islam itu sendiri. Oleh itu, kita perlu bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merasai nikmat terbesar iaitu iman dan Islam. Hal ini kerana tidak semua manusia yang diberi hidayah untuk merasai nikmat ini. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah, namun kita masih mampu berusaha untuk mendaptkan hidayah Allah.


Kesimpulannya, tegakkanlah Islam dalam diri supaya Islam terus dihormati. Untuk mengembalikan kegemilagan Islam adalah bermula dari individu muslim itu sendiri. Sesungguhnya Islam tidak mempunyai kekurangan dan tidak memerlukan terhdap sesuatu. Allah telah menyatakan tentang kesempurnaan Islam. Namun, kitalah sebagai hamba Allah memerlukan agama sebagai panduan agar kita sentiasa dalam redhaNya.

No comments:

"Al-Muhasibi : Tiap-tiap sesuatu ada nilainya, nilai manusia ialah akal dan nilai akal ialah sabar."